
SERIAN – Pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) terus membawa limpahan manfaat kepada penduduk luar bandar apabila kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki di pangkalan tepi sungai Kampung Lanchang Sabai di sini, siap sepenuhnya.
Kemudahan asas di bawah peruntukan Ahli Parlimen Serian itu telah diserahkan secara rasmi kepada penduduk setempat dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, projek berkenaan bertujuan menyediakan akses yang lebih selamat dan selesa buat komuniti setempat.
Menurut beliau, kawasan pangkalan sungai tersebut merupakan nadi utama penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti harian termasuk urusan pengangkutan air, mencari rezeki dengan menangkap ikan, serta menjana ekonomi setempat.
Majlis penyerahan projek itu turut disaksikan oleh wakil Pejabat Pembangunan Bahagian Serian (SDO), Ir Md Audi bersama pasukan teknikal, wakil kontraktor, Ketua Kampung Basel serta Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lanchang Sabai.
Pelaksanaan projek infrastruktur berskala kecil ini secara tidak langsung mencerminkan manifestasi dan komitmen berterusan pihak Parlimen Serian dalam memperkasakan kualiti hidup masyarakat pedalaman.
Foto: Facebook P. 199 Serian


