
LIMBANG – Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah mendepani cabaran kos sara hidup.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Menurutnya, di bawah kepemimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan telah dirangka bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif sejak peringkat awal kehidupan rakyat membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib mereka.
“Bantuan SKAS ini adalah antara program yang memberi impak besar, khususnya kepada golongan B40 kerana ia secara langsung membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Badudun Ramadan anjuran Exco Pemuda PBB Negeri Sarawak 2026 di Surau Nurul Azmi, Kampung Sembiling baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu memberitahu, Sarawak kini menikmati arus pembangunan pesat hasil dasar yang dilaksana di bawah pentadbiran Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas beliau, kemajuan tersebut turut membawa limpahan ekonomi yang dirasai oleh penduduk di kawasan utara negeri ini.
“Pendekatan pembangunan mampan serta strategi ekonomi yang dirancang teliti bukan sahaja meningkatkan hasil negeri, malah turut melonjakkan taraf hidup rakyat secara keseluruhannya.
“Kini, kerajaan negeri sedang memperkukuh persediaan untuk meneruskan agenda transformasi ekonomi agar Sarawak mampu mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Rahman menyeru seluruh rakyat agar terus mengekalkan perpaduan dan memberi sokongan padu kepada kepemimpinan sedia ada demi kelangsungan agenda pembangunan negeri.




