
KABONG – Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan dalam satu operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di kawasan Kabong, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1 tengah hari dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di hadapan sebuah rumah di Kabong.
Menurut beliau, semasa anggota polis memperkenalkan diri, suspek bertindak melarikan diri ke bahagian belakang rumah berkenaan.
“Bagaimanapun, pasukan serbuan berjaya mengejar dan menahan suspek di kawasan belakang rumah tersebut selepas cubaan melarikan diri gagal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek telah menemui sebuah dompet yang mengandungi lesen memandu miliknya serta wang tunai berjumlah RM200.
Turut ditemui ialah satu plastik berwarna hitam di dalam poket hadapan seluar suspek.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas plastik tersebut menemukan dua paket plastik lutsinar bersaiz besar yang setiap satunya mengandungi dua paket kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 2.70 gram.
“Polis turut merampas satu unit penimbang digital berwarna perak,” jelasnya.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif. Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai lima rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kesemua barangan telah dirampas untuk dijadikan bahan bukti dan suspek kini disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.





