Had tempoh PM: Pembangkang lebih ‘selera’ utamakan kuasa politik, tolak reformasi institusi

PUTRAJAYA – Kegagalan memperoleh majoriti dua pertiga Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan sekadar isu angka, sebaliknya memperlihatkan perbezaan keutamaan antara kerajaan dan pembangkang dalam soal reformasi struktur kepimpinan negara.

Penganalisis keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada pembangkang benar-benar bersedia meletakkan kepentingan nasional mengatasi pertimbangan politik semasa.

Menurut beliau, usaha yang diangkat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan pendekatan proaktif dalam memastikan kepimpinan negara lebih teratur dan berlandaskan mekanisme perlembagaan, bukannya sekadar janji politik dalam membawa pindaan RUU terbabit.

“Tindakan pembangkang boleh dilihat sebagai langkah strategik dan taktikal dalam konteks persaingan politik; mereka mungkin menilai had tempoh jawatan sebagai membatasi ruang politik masa depan mereka sendiri.

“Ataupun memastikan rundingan lebih menyeluruh sebelum perubahan besar dilaksanakan. Sokongan penuh blok kerajaan terhadap pindaan ini menegaskan kesungguhan pihak eksekutif untuk membawa reformasi institusi secara konsisten.

“Cabaran angka dua pertiga menunjukkan betapa pentingnya disiplin politik dan pengurusan majoriti dalam Parlimen. Walaupun tiada undi penolakan direkodkan secara langsung, tindakan tidak mengundi secara praktikalnya memberi kesan sama seperti menolak pindaan tersebut,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, had tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan satu langkah institusional yang memperkukuh kestabilan politik jangka panjang serta meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa terhadap sistem demokrasi Malaysia.

“Cadangan kerajaan tersebut adalah selaras dengan amalan tadbir urus demokratik yang baik dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia, walaupun sistem Parlimen membolehkan Perdana Menteri terus berkhidmat selagi mendapat sokongan majoriti.

“Usaha yang dibawa kerajaan ini juga menunjukkan kesungguhan untuk menginstitusikan budaya kepimpinan yang berterusan secara terancang dan memperkukuh kestabilan institusi,” katanya.

Tambah beliau, meskipun pindaan itu gagal diluluskan pada kali ini, komitmen kerajaan untuk membawa semula usul berkenaan menunjukkan kesediaan untuk terus berunding secara inklusif.

Nur Ashikin berpandangan, RUU yang gagal diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin semalam bukan penamat, malah memberi ruang tambah baik yang masih boleh diluluskan pada tahun ini, selaras agenda reformasi institusi sebagai hala tuju utama kerajaan

“Keengganan pembangkang untuk mengundi menyokong pindaan ini tidak menghalang kerajaan daripada terus menekankan agenda reformasi.

“Namun, kerajaan tetap mengekalkan visi jelas untuk memperkukuh tadbir urus dan institusi, menunjukkan kepimpinan matang yang meletakkan kepentingan negara melebihi pertimbangan politik jangka pendek.

“Kegagalan pindaan kali ini bukan pengakhiran, kerajaan menegaskan usul boleh dibawa semula pada sidang akan datang, membuka ruang untuk rundingan lebih inklusif dan memastikan agenda reformasi institusi terus berjalan demi kepentingan negara jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.

RUU ini dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.

Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.

Related Posts

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji

Kerajaan negeri alu-alukan bayaran interim RM1.5 bilion untuk Sabah

Kerajaan negeri alu-alukan bayaran interim RM1.5 bilion untuk Sabah