
SARATOK – Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kes penganiayaan terhadap anak perempuannya berusia enam tahun dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada ibu kandung mangsa pada jam 10.30 pagi, pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, 25 Februari 2026 apabila suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam parit tanah di hadapan rumah.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kelopak mata kanan dan paha kiri.
“Kecederaan tersebut disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Saratok sebagai kesan kecederaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejadian tersebut turut disaksikan oleh adik kembar mangsa serta seorang jiran berhampiran.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati pengadu dan suspek kini dalam proses perceraian serta tidak tinggal serumah, namun lima orang anak termasuk mangsa berada di bawah jagaan suspek.
“Saringan awal ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki berusia 42 tahun itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Suspek juga mengaku terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” jelasnya.
Mathew berkata, suspek ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Saratok untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan meminta orang ramai segera tampil membuat laporan sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan yang melibatkan keselamatan golongan tersebut.


