AKHIR-AKHIR ini rakyat Malaysia khususnya Terengganu disajikan dengan pelbagai infografik yang cuba mengangkat imej kepimpinan negeri Terengganu sebagai simbol ‘pemimpin teknokrat’ berjaya. Angka pelaburan berbilion ringgit, kadar pengangguran rendah dan pertumbuhan ekonomi dipaparkan seolah-olah negeri ini sedang melalui transformasi luar biasa.
Namun persoalan sebenar yang wajar ditanya rakyat ialah: adakah kehidupan rakyat Terengganu benar-benar berubah seiring dengan angka-angka tersebut?
Hakikatnya, sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Terengganu bukanlah hasil reformasi dasar negeri semata-mata, tetapi dipacu oleh ekosistem ekonomi nasional khususnya sektor minyak dan gas yang sejak sekian lama menjadi tulang belakang ekonomi negeri.
Pelaburan besar yang diumumkan pula banyak bergantung kepada dasar pelaburan Persekutuan melalui agensi nasional serta kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.
Ini bermakna kejayaan tersebut tidak boleh dipisahkan daripada peranan Kerajaan Persekutuan yang menyediakan dasar fiskal, insentif pelaburan dan rangka pembangunan industri negara.
Lebih penting, angka KDNK yang meningkat tidak semestinya mencerminkan kesejahteraan rakyat. Terengganu masih berdepan realiti penghijrahan belia ke negeri lain untuk mencari pekerjaan lebih stabil dan bergaji tinggi. Jika ekonomi benar-benar mengalami transformasi menyeluruh, mengapa ramai graduan masih meninggalkan negeri sendiri untuk membina masa depan?
Kadar pengangguran rendah sering dijadikan hujah kejayaan. Namun statistik ini tidak mengambil kira hakikat pekerjaan tidak formal, pekerjaan berpendapatan rendah serta fenomena tenaga kerja muda yang bekerja di luar negeri. Statistik boleh kelihatan cantik di atas kertas, tetapi pengalaman hidup rakyat memberi gambaran berbeza.
Seorang pemimpin boleh memiliki kelayakan akademik tinggi, tetapi kejayaan kepimpinan tidak diukur melalui sijil atau gelaran. Kepimpinan sebenar diukur melalui perubahan struktur ekonomi penciptaan industri baharu, peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan pendapatan rakyat secara nyata.
Selepas bertahun-tahun pentadbiran, persoalan besar masih kekal: di manakah industri baharu yang benar-benar mengurangkan kebergantungan Terengganu kepada petroleum? Di manakah lonjakan ekonomi yang menahan anak muda daripada berhijrah?
Apa yang kelihatan hari ini lebih menyerupai pembinaan jenama politik berbanding transformasi ekonomi sebenar.
Rakyat Terengganu bukan sekadar memerlukan naratif kejayaan atau imej teknokrat yang dipromosikan secara grafik menarik. Rakyat memerlukan dasar berani yang mampu mengubah struktur ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan kemajuan dirasai di dapur setiap keluarga.
Kerana akhirnya, ukuran kejayaan bukan pada poster atau infografik tetapi pada sejauh mana rakyat benar-benar hidup lebih baik daripada sebelumnya.


