
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkukuh mekanisme pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih ketat dan menyeluruh.
Timbalan Menterinya, Chiew Choon Man berkata, Kerajaan MADANI optimis menyasarkan ketibaan seramai 47 juta pelawat sepanjang tempoh kempen berkenaan berlangsung.
Menurut beliau, sasaran tersebut turut disokong dengan jangkaan peningkatan perbelanjaan pelancong serta sumbangan signifikan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“VM2026 bukan sekadar kempen promosi biasa, sebaliknya ia berperanan sebagai pemangkin ekonomi nasional yang memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan komuniti perniagaan tempatan.
“MOTAC akan memastikan setiap inisiatif yang dirangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara berstruktur dan berimpak tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan mengenai kesediaan kementerian dalam mendepani tahun melawat berkenaan.
Mengulas lanjut, Choon Man menjelaskan MOTAC kini memberi tumpuan khusus kepada segmen pelancongan berimpak tinggi.
Ini termasuklah pelancongan budaya dan warisan, ekopelancongan, pelancongan kesihatan serta penganjuran sukan dan acara antarabangsa.
“Pendekatan ini dirangka bagi memastikan pulangan ekonomi yang mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” jelas beliau.
Dalam pada itu, bagi memastikan keberkesanan pemantauan, MOTAC turut melaksanakan analisis data secara berterusan dengan kerjasama agensi lain.
Antaranya melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menilai pola perbelanjaan serta impak ekonomi semasa.
Tambah beliau, VM2026 dijangka memberi nafas baharu kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) domestik menerusi peningkatan permintaan produk tempatan.
“Produk kraftangan, makanan tradisional, penginapan komuniti dan perkhidmatan pelancongan bakal menerima kesan positif secara langsung.
“Malah, ia juga dijangka merangsang inovasi dan pelaburan, sekali gus memperkasa ekonomi luar bandar melalui pelancongan komuniti yang lestari,” katanya.
Foto: JAPEN




