Ribut landa Bukit Gantang, 34 mangsa dipindahkan ke PPS

TAIPING – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Taman Kaya di sini susulan kejadian ribut dan pokok tumbang yang melanda beberapa kawasan sekitar Bukit Gantang pada petang Selasa.

Jawatankuasa Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama memaklumkan, kejadian kira-kira jam 4 petang itu menyaksikan sebanyak 16 laporan kes pokok tumbang diterima membabitkan beberapa lokasi terjejas.

Antara kawasan terlibat ialah Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 1/2, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana serta Jalan Simpang di Changkat Jering.

“Sehubungan itu, PPS di Dewan Serbaguna Taman Kaya telah dibuka bermula jam 6.30 petang, 24 Februari,” menurut kenyataan ringkas jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, seramai 34 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan setakat malam tadi.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan aspek keselamatan serta keperluan asas semua mangsa terjaga dengan baik.

“Tambahan pula dalam bulan Ramadan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memastikan kemudahan di PPS disediakan selari dengan keperluan ibadah termasuk ruang solat serta kemudahan bersahur dan berbuka puasa supaya mangsa dapat menjalani ibadah dengan lebih selesa walaupun diuji musibah.

“Insya-Allah, tindakan susulan akan terus disusun bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa ribut di PPS berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan komuniti setempat yang bertungkus-lumus menyelaras bantuan awal dalam suasana Ramadan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, setakat jam 8.10 malam, seramai 92 mangsa telah menyalurkan maklumat kepada Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, antara kerosakan dilaporkan termasuk rumah dihempap pokok, bumbung diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuh serta khemah bazar Ramadan patah.

“Selain itu, turut dilaporkan kerosakan pada bumbung kaki lima dan pagar kubur di Masjid Pengkalan Aur, bumbung surau Taman Pengkalan Indah tercabut serta kenderaan yang dihempap garaj,” katanya.

  • Related Posts

    TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

    KUDAT – Taman Tun Mustapha (TTM) kini berada di landasan penting untuk muncul antara kawasan perlindungan marin bertaraf dunia apabila berjaya memasuki fasa penilaian bagi pengiktirafan International Union for Conservation…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

    KANGAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menahan dua lelaki warga Indonesia dipercayai tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan rumah di…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

    Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

    Ini bukan soal politik semata-mata

    Ini bukan soal politik semata-mata

    TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

    TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

    Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

    Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

    Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

    Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

    Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi

    Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi