KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk pegawai lantikan kontrak, yang akan dibayar pada 13 Mac ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi hari ini bahawa bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan penjawat awam serta pesara dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurut kenyataan tersebut, bantuan sama turut diperluaskan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen, masing-masing menerima bayaran sebanyak RM250.
“BKK ini akan menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran tersebut.
“Pemberian BKK ini akan dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata kenyataan itu.
Inisiatif pemberian BKK itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.




