
BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa menghentikan permainan memanipulasikan fakta dengan mencipta dakwaan Malaysia bakal dikenakan kadar tarif hampir dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pandan itu tidak berasas dan tidak benar sama sekali.
“Rafizi janganlah asyik nak ‘spin’, letihlah nak layan. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tengku Zafrul berkata, keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif dikenakan pentadbiran Presiden, Donald Trump menandakan kadar 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi terpakai.
Menurut beliau, tidak wujud sebarang unsur tergesa-gesa dalam memeterai perjanjian perdagangan dengan AS iaitu Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).
“Kerajaan memilih bertindak awal bagi melindungi kepentingan nasional, dan mengumpamakan situasi tersebut seperti insurans perjalanan. Dia macam insurans perjalanan.
“Masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tapi, apabila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit! Waktu itu baharulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting.
“ART pun sama kita bersedia daripada awal, sediakan payung sebelum hujan. Dalam perdagangan global hari ini siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal. Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu sibuk nak bercakap cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dulu baru nak cari teduh.” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan, Malaysia menyedari kes melibatkan tarif oleh Trump itu sedang berjalan di Mahkamah Agung AS.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keputusan itu selesai kerana situasi akan menjadi berbeza sekiranya keputusan mahkamah tersebut memihak kepada Trump.
“Dalam perdagangan global hari ini, negara yang lambat bertindak dan bergerak terpaksa membayar harga yang mahal.
“Sebab itu kita mestilah bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang ambil pendekatan ini. Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea, Jepun dan terkini jiran kita Indonesia juga telah capai persefahaman dengan AS.
“Adakah semua negara ini juga tergesa-gesa? Atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri-industri masing-masing?” soalnya.
Terdahulu, Rafizi sebelum ini berkata, Malaysia perlu membayar hampir dua kali ganda tarif yang dikenakan sebelum ini susulan keputusan mahkamah AS.
Beliau menyifatkan perkara berkenaan berpunca daripada tindakan ‘tergesa-gesa’ untuk menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas atau ART dengan kuasa besar itu dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tengku Zafrul disiasat.






