EBERECHI Eze kembali menemui sentuhan jaringan pada masa yang tepat apabila meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 Arsenal ke atas Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus meredakan tekanan dalam saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Penyerang England itu tidak menjaringkan gol sejak hatrik dalam perlawanan menentang lawan sama pada November, namun bangkit meledak satu gol di setiap babak. Selain itu, Viktor Gyokeres turut menyumbang dua gol.
Arsenal kini mengumpul 61 mata daripada 28 perlawanan, lima mata mengatasi Manchester City di tempat kedua yang bermain kurang satu perlawanan.
Eze membuka tirai jaringan menerusi voli minit ke-32, tetapi Randal Kolo Muani menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Gyokeres mengembalikan kelebihan Arsenal sejurus babak kedua bermula sebelum Eze menambah gol ketiga. Gyokeres melengkapkan kemenangan dengan gol kedua dalam masa kecederaan.




