KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikesan berdepan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan bagi tahun kewangan 2024, menurut Jabatan Audit Negara.
Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang meneliti Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024.
Menurut ringkasan laporan berkenaan, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta.
Daripada jumlah itu, UKM merekodkan kutipan sebanyak RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta dikutip melalui koperasi. Bagaimanapun, sebanyak RM7.60 juta masih belum diterima.
Laporan berkenaan turut mendedahkan kutipan yuran pelajar tanpa kuasa berjumlah RM50.74 juta selain perjanjian kerjasama yang tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.
Audit juga mendapati yuran pelajar berjumlah RM32.36 juta tidak direkodkan sebagai hasil UKM daripada keseluruhan kutipan RM60.77 juta.
Daripada RM50.74 juta yuran yang dikutip koperasi, agihan sebanyak RM21.02 juta lewat diserahkan kepada UKM dalam tempoh antara 31 hingga 291 hari.
Selain itu, yuran berjumlah RM5.32 juta masih belum diserahkan dalam tempoh antara satu hingga melebihi tiga tahun.
Pada masa sama, audit mengesan wujud konflik kepentingan membabitkan lima pegawai UKM yang memegang jawatan penting dalam koperasi berkenaan.
Dalam laporan sama, audit turut mengesan ketidakaturan dalam perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan di UKMShape dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM6.69 juta.
Berdasarkan laporan berkenaan, audit mengesan pemberian komisen kepada ejen yang tidak layak berjumlah RM5.94 juta. UKM juga didapati menampung perbelanjaan ke luar negara kepada enam individu bukan kakitangannya berjumlah RM107,907.
Selain itu, audit mengesan pembayaran Elaun Pelajar Sangkutan Industri kepada pelajar tidak layak berjumlah RM35,000 serta pendahuluan bagi penyelarasan program khas tanpa kelulusan sah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM200,000.
Perolehan bernilai RM403,500 turut dikesan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga.
Sehubungan itu, audit merumuskan terdapat ketidakaturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar serta perbelanjaan di UKM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan.
“Audit mengesyorkan agar menyemak dan memantau keseluruhan kutipan yuran pelajar oleh koperasi bagi memastikan semua yuran pelajar diserahkan mengikut ketetapan kontrak dan mengelakkan sebarang kelewatan.
“Tindakan juga hendaklah diambil bagi mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan kepada UKM. Mengkaji semua perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian akan datang berhubung dengan yuran pelajar.
“UKM juga hendaklah memastikan perjanjian dibuat selaras dan berpandukan sepenuhnya kepada peruntukan Perlembagaan UKM sebagai instrumen perundangan yang mengawal kuasa serta fungsi universiti,” kata laporan itu.








