Pengajian bahasa etnik Sabah wajar disokong BKNS – Ewon

PENAMPANG – Pengajian bahasa etnik Sabah di peringkat universiti perlu disokong melalui pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi memastikan kelangsungan dan pengukuhan bahasa ibunda di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sokongan tersebut penting sebagai galakan kepada pelajar memilih bidang pengajian bahasa etnik Sabah dan seterusnya menjadi tenaga pengajar di sekolah.

“Ketika ini subjek Bahasa Kadazandusun telah pun menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan negara dan diajar di sekolah rendah serta menengah di Sabah. Pada masa sama, usaha memperkenalkan empat lagi bahasa etnik iaitu Kadazan Tangaa, Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana kini sedang dimurnikan.

“Saya akan kemukakan kepada Ketua Menteri Sabah dan mesyuarat Kabinet negeri keperluan menyokong pengajaran bahasa etnik ini melalui pemberian BKNS kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Sabah yang menawarkan pengajian ini.

“Ini boleh menjadi galakan kepada pelajar memilih bidang ini dan seterusnya menjadi tenaga pengajar subjek berkenaan di sekolah,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kamus Kadazan-Inggeris-Melayu bersempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa, di sini pada Sabtu.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, inisiatif tersebut diyakini mampu memastikan kelestarian bahasa ibunda etnik Sabah melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Webonary Kadazan-Malay-English yang menghimpunkan 36,673 entri bahasa Kadazan dan 29,387 entri bahasa Melayu, sekali gus memperluas akses rujukan digital kepada masyarakat dan penyelidik.

“Sebagai tanda sokongan berterusan, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen Penampang serta dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KKIP bagi membantu usaha yayasan berkenaan membangunkan bahasa ibunda etnik Sabah.

“Selain itu, saya turut bersetuju menyalurkan RM50,000 kepada Persatuan Bahasa Etnik Sabah untuk membangunkan lebih banyak bahan pendidikan bagi empat bahasa etnik yang dicadangkan untuk diperkenalkan di sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, turut berlangsung dalam sambutan berkenaan ialah penyampaian Anugerah Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok kepada pemenang pertandingan novel bahasa Kadazandusun anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sastera dan warisan bahasa etnik Sabah.

Related Posts

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

MIRI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Miri tampil mengecam keras tindakan pihak tertentu yang mengeksploitasi institusi keagamaan Kristian, termasuk watak paderi dan biarawati, sebagai bahan jenaka berunsur seksual ketika…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

KOTA KINABALU – Ketika kanak-kanak lain seusianya bebas bermain tanpa memikirkan apa-apa, satu kejadian ketika berusia empat tahun mengubah kehidupan Nurhadrieyana Paiman.‎‎Insiden tercucuk pensil menyebabkan penglihatan mata kirinya terjejas, sekali…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang