
KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP) Pengkalan Chepa di sini, dijangka beroperasi sepenuhnya awal bulan depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Saizol Ismail berkata, hasil lawatan pihaknya pada minggu lalu, projek pembesaran fasa dua lapangan terbang itu kini hampir siap sepenuhnya.
Beliau berkata, mengikut perancangan, operasi penuh sepatutnya berjalan minggu lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat masalah teknikal.
“Kini hanya berbaki kerja akhir sebelum operasi penuh dimulakan pada pertengahan Ramadan.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, saya berharap pengendali operator penerbangan dapat menambah destinasi ke luar negara walaupun LSTIP bukan bertaraf antarabangsa sepenuhnya,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Mesra Air Kelantan Sdn Bhd Bersama Media Kelantan, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan projek pembesaran LTSIP fasa kedua bermula serta-merta pada Mei 2024 selepas fasa pertama beroperasi.





