KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi meneliti isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan diberi mandat untuk melaksanakan siasatan secara menyeluruh dan terperinci terhadap perkara yang dibangkitkan.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pihak berkuasa tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan serta isu berbangkit yang dikaitkan dengan Azam Baki.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Dalam reaksi balasnya, Azam Baki menegaskan beliau bersedia dan terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan sahamnya.
Susulan siasatan itu, Anwar turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk merehatkan Azam Baki sepanjang tempoh siasatan dijalankan.









