MINDA TOK ABAH: Rapatkan jurang ideal dan realiti

BUMI Malaysia tidak pernah dibina atas asas keseragaman. Sejak awal pembentukan negara, kita hidup dalam kepelbagaian etnik, budaya dan agama, namun dalam masa sama kita tetap berkongsi tanah air yang sama. Keamanan dan kestabilan selama hampir tujuh dekad ini dapat dikekalkan bukan dengan cara menghapuskan perbezaan dalam kepelbagaian tersebut, tetapi bagaimana ianya diurus dengan adab, hikmah dan keadilan.

Almarhum Prof Datuk Dr. Siddiq Fadzil pernah menegaskan bahawa hidup dalam kepelbagaian adalah amanah sejarah. Kepelbagaian bukan sekadar fakta sosiologi, tetapi ujian kematangan bangsa. Ia hanya menjadi rahmat apabila diurus dengan adab. Tanpa adab, perbezaan mudah bertukar menjadi permusuhan.

Dalam konteks negara bangsa, proses pembinaan ini tidak pernah selesai. Ia adalah kesinambungan yang merentasi generasi. Setiap zaman hadir dengan cabaran tersendiri termasuklah tekanan kos sara hidup, persoalan identiti, isu tanah, polemik agama dan keselamatan awam. Semua ini perlu dilihat dalam kerangka lebih besar, adakah tindakan dan reaksi kita mengukuhkan atau melemahkan pembinaan negara bangsa?

Polemik berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang kembali hangat ketika lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, adalah contoh ujian kematangan tersebut. Kedua-dua pihak sebenarnya mengangkat prinsip yang sama, mahu mendaulatkan undang-undang. Namun persoalan yang wajar ditanya ialah mengapa isu ini dihangatkan seolah-olah eksklusif kepada kuil semata-mata?

Hakikatnya, isu pokok bukan soal rumah ibadat ‘halal’ atau ‘haram’, tetapi persoalan pentadbiran tanah dan kebenaran pembinaan sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian yang turut melibatkan rumah setinggan, gerai dan pembinaan tanpa kelulusan di banyak tempat. Bezanya hanyalah bagaimana isu itu dibingkai dan diurus.

Apabila isu teknikal pentadbiran ditarik ke gelanggang sentimen identiti, maka ia mudah meletup. Tambahan pula, ia berlaku bersempena lawatan rasmi seorang pemimpin asing, dalam suasana geopolitik dan diplomatik yang sensitif mutakhir ini. Di sinilah kebijaksanaan semua pihak diuji termasuk dari segi penguatkuasaan, nada dan pendekatan.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perpaduan bukan sesuatu yang boleh dikompromi, ia adalah prasyarat kestabilan. Perlu diingatkan juga sejarah panjang pengaruh luar di Tanah Melayu yang berakar sejak ribuan tahun lalu yang membentuk kehidupan seharian, adat resam dan identiti budaya sehingga hari ini. Mengiktiraf hakikat ini bukan kelemahan negara, tetapi sebahagian daripada kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian.

Namun, di sinilah juga muncul cabaran apabila ada pihak yang merasakan sebagai satu kewajipan agama dan bangsa untuk mengangkat isu ini secara terbuka dan emosional. Ia mudah mengheret perbincangan keluar daripada landasan hikmah. Keberanian moral tidak semestinya bermaksud konfrontasi terbuka, adakalanya ia menuntut kebijaksanaan untuk memilih ruang, masa dan bahasa yang tepat.

Peringatan penyair dan pemikir Barat, T. S. Eliot, dalam puisinya The Hollow Men terasa amat relevan dalam konteks hari ini:

“Between the idea and the reality falls the shadow.”

Antara ideal dan realiti, jatuh bayang-bayang. Di ruang inilah salah faham, manipulasi dan emosi berlebihan mudah berakar. ‘Bayang-bayang’ itu boleh dirapatkan jika isu ini dibingkai sebagai soal hormat kepada undang-undang, keselamatan awam dan kepelbagaian, bukan konflik agama atau pertembungan identiti. Tiga tahun kebelakangan ini, termasuk bulan Februari yang menyaksikan perayaan besar masyarakat Melayu, Cina dan India, diraikan dengan penuh kebersamaan tanpa insiden tidak diingini. Ini membuktikan bahawa keharmonian bukan retorik kosong semata-mata, tetapi realiti yang boleh dicapai jika dipelihara bersama.

Dalam dunia yang sedang menyaksikan kebangkitan faham fasisme dan ultra-nasionalisme termasuk dari Eropah hingga Amerika Latin, kestabilan Malaysia adalah satu kurniaan besar yang wajar disyukuri. Banyak negara runtuh bukan kerana kekurangan sumber, tetapi kerana kegagalan mengurus kepelbagaian dengan adab, kebijaksanaan dan hikmah.

Kerajaan MADANI menawarkan sesuatu yang jarang dihargai sehingga ia hilang, iaitu kestabilan. Ketegasan dalam prinsip, namun berhikmah dalam pendekatan. Ketegasan tanpa kemanusiaan akan mencetuskan penolakan, sebaliknya kelembutan tanpa prinsip pula akan menghakis keyakinan.

Akhirnya, hidup dalam kepelbagaian bukan pilihan, tetapi takdir sejarah Malaysia. Bagaimana kita menguruskannya adalah pilihan moral kita. Jika kita memilih adab daripada amarah, dialog daripada konfrontasi, dan hikmah daripada retorik, maka jurang antara ideal dan realiti mampu dirapatkan. Dalam perjalanan panjang membina negara bangsa, kepelbagaian bukan ancaman, tetapiI satu kekuatan, selagi ianya dipandu oleh keadilan, hormat dan kebijaksanaan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan pada Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP. Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok