
TAWAU – Isu kesesakan trafik yang kerap berlaku di Tawau dibangkitkan secara langsung kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dengan tiga cadangan solusi utama bagi mengurangkan tekanan aliran kenderaan khususnya di kawasan kritikal.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, susulan itu, Ketua Menteri kemudian mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terhadap semua cadangan berkenaan.
“Tiga cadangan berkenaan adalah pengenalan laluan Tawau Bypass, Pembinaan ‘flyover’ di Takada dan Bulatan Keris Batu 4.
“Laluan Tawau Bypass dan pembinaan ‘flyover’ ini agar aliran trafik berjalan lancar.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang berskala besar, turut dicadangkan pembinaan Tawau Coastal Highway yang bukan sahaja menyediakan laluan alternatif malah berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada perancangan bandar dan pembangunan ekonomi setempat,” katanya selepas menyampaikan amanat dalam Majlis Jamuan Makan Tengah Hari KBSK bersama Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Borneo Royale Hotel, pada Isnin.
Dalam perkembangan berasingan, Nizam yang juga ADUN Apas menyeru agar isu curi elektrik yang sering dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran juga perlu ditangani secara serius dan bersepadu.
“Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan pendekatan penyusunan semula rumah-rumah setinggan secara lebih teratur, lebih selamat dan lebih berperikemanusiaan, supaya risiko kebakaran dapat dikurangkan dan kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan,” ujarnya.




