
KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak perempuan maut dan lima individu lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda di berhampiran Jalan Signal Hill Park, pada malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Hilux yang terbabas sendiri ke dalam longkang di tepi jalan.
“Terdapat enam mangsa terlibat iaitu lima mangsa cedera dan satu mangsa meninggal dunia telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
“Mangsa yang cedera telah di hantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera EMRS Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Isnin.
Tambahnya, mangsa meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada pukul 11.32 malam.




