
KOTA KINABALU – Pelan Strategik Lima Tahun Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) menjadi asas penting dalam memperkukuh perancangan organisasi, meningkatkan tahap kebersihan serta membentuk imej daerah yang mencerminkan kepimpinan berkesan di peringkat akar umbi.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif berkata, pelancaran pelan strategik itu membuktikan kesungguhan JHEANS untuk bergerak secara tersusun, berpandangan jauh dan berfokus kepada hasil dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan Kerajaan Negeri.
“Dalam landskap pentadbiran awam masa kini, pelan strategik bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas yang berfungsi sebagai dokumen kerja komprehensif bagi menetapkan halatuju, matlamat dan strategi organisasi.
“Pelan strategik berperanan sebagai kompas organisasi yang memastikan setiap dasar, program dan penggunaan sumber dilaksanakan secara berfokus serta selari dengan aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik JHEANS di Marriot Hotel Kota Kinabalu, pada Khamis.
Arifin berkata, tanpa pelan strategik yang jelas, sesebuah organisasi berisiko bergerak tanpa arah dan sukar mengukur prestasi serta keberkesanan perkhidmatan yang disampaikan.
“Pelaksanaan pelan strategik JHEANS selari dengan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang digariskan kepimpinan negeri sebagai panduan pembangunan dan pentadbiran kerajaan Sabah.
“Ini juga langkah tepat dan proaktif dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, khususnya melibatkan peranan kepimpinan adat dan ketua daerah,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan jabatan, barisan pengurusan serta seluruh warga kerja JHEANS atas komitmen, profesionalisme dan kecekapan dalam merangka pelan strategik berkenaan.
Beliau juga berharap pelan strategik JHEANS dapat dijadikan penanda aras kepada jabatan dan agensi lain, khususnya dari aspek perancangan strategik, pengurusan perubahan serta pemantauan prestasi yang sistematik, berasaskan data dan berorientasikan hasil.
Arifin turut menyatakan kepentingan aspek kebersihan dan keindahan daerah sebagai cerminan kepimpinan di peringkat tempatan, selaras dengan peranan ketua adat, ketua daerah dan pemimpin komuniti.
“Kebersihan dan keindahan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi tanggungjawab bersama kepimpinan adat dan masyarakat.
“Keadaan kampung dan daerah akan mencerminkan kepimpinan di kawasan berkenaan,” katanya.





