
PADAWAN – Seorang wanita tempatan berusia 37 tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Puncak Borneo, Kuching, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika mangsa sedang ingin memasuki kenderaannya di tepi jalan.
“Berdasarkan siasatan awal, sebuah kenderaan dari arah belakang telah melanggar mangsa sebelum pemandunya melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Sehubungan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan agar tampil membantu siasatan.
Orang awam diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Abang Azil Fansuri Abang Abdullah di talian 014-8677853. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






