
TAWAU – Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.15 pagi menerusi NG999.
“Sepasukan 28 anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan Bomba mendapati kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan dengan keluasan kira-kira 177 x 60 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat manakala operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pukul 11.55 pagi.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” ujarnya.






