
MALAYSIA dan Rusia perlu mempertimbangkan untuk mengadakan penerbangan terus bagi meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.
Perkara itu digesa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mesra, tidak dipengaruhi oleh mana-mana kuasa.
Jelasnya, pelancong Rusia perlu melawat Malaysia yang kaya dengan budaya kemesraan selain memiliki pelbagai makanan yang lazat, serta berdaya maju dari segi ekonomi.
“Kami adalah negara yang kaya dengan budaya, dengan masyarakat yang pelbagai, mempunyai hutan hujan tropika, pantai dan mengalami iklim khatulistiwa. Jika anda pergi ke sana, anda akan mendapati bahawa ‘Malaysia is truly Asia’,” katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9, hari ini.
Ia turut disertai Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Naib Presiden China, Han Zheng.
Terdahulu, pada sidang media bersama wartawan Malaysia di hari terakhir lawatan rasmi ke Rusia hari ini, Anwar berkata, Malaysia menerima lebih 100,000 ketibaan pelancong dari Rusia pada tahun lepas dan terdapat potensi untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu dengan lebih banyak sambungan penerbangan.
Pada masa ini, hanya penerbangan transit melalui China yang boleh didapati untuk menghubungkan kedua-dua negara.







