
JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.
Bank pusat dalam satu kenyataan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama tahun 2024.
Ia berkata, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.
Pada masa hadapan katanya, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh.
“Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.
Bank pusat itu menjelaskan, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Pada masa sama, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada separuh pertama tahun 2024.
“Ia kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal berikutan keberkesanan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan untuk meminimumkan kesan kos kepada perniagaan,” katanya.







