
SEPANGGAR – Datuk Mustapha Sakmud hari ini mengadakan lawatan kerja ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan Parlimen Sepanggar, masing-masing di Bandar Putra dan Pekan Puterajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, Pusat NADI diwujudkan kerajaan sebagai institusi masyarakat yang menawarkan pelbagai kemudahan serta kursus secara percuma kepada penduduk setempat.
“Antara yang ditawarkan termasuk kursus keusahawanan, tuisyen dalam talian percuma, latihan jahitan serta kursus bakeri.
“Pusat NADI juga berperanan sebagai medium penyebaran maklumat berkaitan inisiatif Kerajaan MADANI kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP) selepas mendengar taklimat di NADI Pekan Puterajaya, pada Sabtu.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berharap penduduk setempat dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan, khususnya golongan belia dan kanak-kanak.
“Satu lagi Pusat NADI turut beroperasi di Kampung Warisan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, dengan semua perkhidmatan disediakan secara percuma.
“Kita menggalakkan orang ramai, terutama anak-anak, untuk datang dan menggunakan kemudahan yang telah disediakan tanpa sebarang bayaran,” ujarnya.








