
IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menyifatkan cubaan Perikatan Nasional (PN) mengangkat semula tokoh politik yang pernah dipersoalkan oleh rakan gabungan sendiri sebagai bukti jelas gabungan itu sedang berdepan ketandusan kepimpinan dan idea baharu.
Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani berkata, langkah tersebut mencerminkan kegagalan PN untuk membina kepimpinan masa depan yang diyakini rakyat, sebaliknya terperangkap dalam politik kitar semula tokoh, naratif dan pendekatan lama.
Menurutnya, individu yang sebelum ini meletakkan jawatan serta pernah didesak berundur oleh pimpinan gabungan sendiri kini mahu dijadikan simbol kestabilan politik PN, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju gabungan berkenaan.
“Realitinya, PN tidak sedang membina masa depan, sebaliknya terperangkap dalam politik kitar semula yang sama, dengan pendekatan dan naratif lama yang gagal menawarkan penyelesaian sebenar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ashraf turut mengkritik PN yang disifatkan masih bergelut dengan isu dalaman dan rundingan jawatan sesama sendiri ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi serta cabaran peluang pekerjaan.
“Ini bukan reformasi politik dan bukan pembaharuan kepimpinan, sebaliknya manifestasi krisis arah tuju sebuah gabungan politik,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berprinsip, segar dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kepimpinan yang lahir daripada kompromi politik dan keperluan kuasa semata-mata.







