
JARINGAN menarik Nico Gonzalez membantu Manchester City layak ke final Piala FA buat kali keempat berturut-turut selepas bangkit menewaskan Southampton 2-1, awal pagi tadi.
Southampton hampir mencipta kejutan apabila mendahului menerusi penyudah kemas Finn Azaz pada minit ke-79, sekali gus meletakkan kelab Liga Kejuaraan itu di ambang final pertama sejak 2003.
Namun City bangkit mengelak nasib sama seperti Arsenal pada suku akhir dan terus memburu treble domestik.
Jeremy Doku terlebih dahulu menyamakan kedudukan sebelum Gonzalez meledak gol kemenangan dari jarak jauh tiga minit sebelum tamat perlawanan.
City akan berdepan Leeds atau Chelsea di final pada 16 Mei.
“Tiada pasukan pernah mara ke empat final berturut-turut. Ini sesuatu yang luar biasa dan kami harap dapat ke sana dengan momentum terbaik,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah 20 perlawanan Southampton yang membantu mereka kembali memburu tempat ke Liga Perdana Inggeris.
Southampton sebelum ini turut menyingkirkan pencabar kejuaraan City, Arsenal dan pasti terkilan terlepas peluang kembali ke Wembley bulan depan.







