
KUCHING – Dunia kewartawanan di Sarawak berdukacita dengan pemergian jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sarawak, Razali Nordin, 54, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1.44 pagi pada Ahad.
Allahyarham yang berasal dari Batu Gajah, Perak difahamkan bertarung dengan komplikasi beberapa penyakit kronik yang melibatkan masalah jantung, hati dan buah pinggang.
Keadaan kesihatan jurugambar veteran itu dilaporkan mula merosot sejak Ramadan lalu, menyebabkan beliau terlantar di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya, sebelum terpaksa dimasukkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu pada 18 April lepas, rakan-rakan dari Team TMP Sarawak turut meluangkan masa menziarahi beliau ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Menyusuri jejak kerjayanya, arwah disifatkan sebagai seorang petugas yang amat komited dan berdedikasi sepanjang tiga dekad menabur bakti bersama agensi berita nasional itu.
Kehilangan beliau amat dirasai oleh rakan seperjuangan, lebih-lebih lagi kerana sikapnya yang peramah dan amat mudah memberikan kerjasama kepada rakan-rakan media yang lain.
Sebelum ini, keprihatinan terhadap nasib kesihatan Allahyarham turut mendapat perhatian kerajaan apabila beliau terpilih menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA, iaitu sebuah inisiatif kebajikan khusus untuk pengamal media di bawah Kementerian Komunikasi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Ratnawaty Abdul Hai, bersama empat orang cahaya mata.
Menurut Ratnawaty, jenazah suaminya akan dibawa ke Masjid Gita berhampiran untuk urusan solat jenazah sebelum disemadikan.





