
KUCHING – Isu banjir yang kerap melanda kawasan Matu, Jemoreng dan Passin kini menjadi tumpuan utama kerajaan Sarawak yang menuntut pelaksanaan langkah pencegahan segera.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya berkata, tindakan pantas dan kerjasama bersepadu semua pihak amat kritikal bagi mengurangkan risiko bencana tersebut.
Menurutnya, keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu diletakkan sebagai keutamaan mengatasi segala kepentingan lain.
“Setiap cadangan daripada agensi berkaitan harus dijadikan panduan. Tindakan kita mesti mengutamakan keselamatan rakyat, sambil memastikan pembangunan selaras dengan undang-undang serta faktor alam sekitar.
“Semua pihak perlu bergerak pantas dan bersepadu untuk mengurangkan risiko banjir,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak, pada Isnin.
Mesyuarat tersebut melibatkan 12 agensi kerajaan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei serta Pejabat Residen Mukah.
Turut dipanggil memberi penjelasan adalah pihak pelesen ladang dan kontraktor jalan bagi membentangkan langkah mitigasi yang telah dilaksanakan serta cadangan tindakan masa depan.
Jelas Dr Juanda, perbincangan bersemuka itu dilihat sebagai langkah positif bagi membolehkan pertukaran pandangan secara terus, sekali gus memastikan tindakan susulan dapat digerakkan segera demi manfaat komuniti terjejas.


