
SARATOK – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok mempergiatkan usaha membanteras jenayah menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan dan laluan utama di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang bermula jam 3.30 petang hingga 5.30 petang itu bertujuan menurunkan kadar jenayah indeks, khususnya kes kecurian kenderaan serta meningkatkan kehadiran polis di kawasan berisiko.
Menurutnya, operasi itu menumpukan kepada Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut (snap check) terhadap individu serta kenderaan mencurigakan di Jalan Pan-Borneo.
“Selain itu, rondaan turut dijalankan di kawasan pasar, kampung dan taman perumahan meliputi sekitar Kabong, Saratok dan Roban.
“Hasil pemeriksaan ke atas 80 individu dan 78 buah kenderaan, sebanyak 26 saman trafik telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, namun tiada sebarang tangkapan atau rampasan direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Operasi, Inspektor Muhammad Asraf Mad Nasir dengan kekuatan seramai 16 pegawai dan anggota.
Jelas Mathew, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti jenayah, mengesan individu dikehendaki serta meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pematuhan undang-undang jalan raya.






