
MIRI – Suasana di Tamu Muhibbah dan Open Air Market, Pujut ceria seawal jam 7 pagi Jumaat dengan aktiviti pengagihan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Program praperayaan itu diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang yang turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung.
Adam berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyemarakkan bahang sambutan perayaan, malah menjadi wadah mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat.
Menurutnya, aktiviti itu turut memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum untuk meraikan budaya dan tradisi secara bersama-sama.
“Semangat perpaduan dan pembangunan komuniti ini adalah sejajar dengan slogan ‘Bersama Kita Membina Pujut’ dan ‘Together We Build a Better Miri’.
“Ia menjadi simbol usaha kita bersama dalam membina komuniti yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Dalam pada itu, kehadiran pemimpin setempat di lokasi tumpuan awam itu menarik perhatian ramai yang tidak melepaskan peluang beramah mesra secara santai.
Rata-rata penduduk menyifatkan acara tradisi tahunan itu berjaya menghidupkan suasana muhibah di kawasan berkenaan menjelang musim perayaan.
Foto: Facebook Adam Yii






