
LIMBANG – Seorang pemandu treler berdepan saat mencemaskan apabila tersepit selepas kenderaan yang dipandunya terbalik dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Kampung Tabahan, hari ini.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 tengah hari. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori treler telah terbalik dan seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan tersepit.
“Mangsa dilaporkan sedar ketika ditemui namun mengalami kecederaan pada bahagian tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan hidraulik bagi melakukan kerja-kerja regangan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Limbang untuk rawatan lanjut.



