
TUARAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran memburu suspek langgar lari yang mengakibatkan kematian berhampiran stesen minyak Petronas Haja, Jalan Berungis-Tenghilan, pada pagi Selasa.
Suspek langgar lari buruan polis dikenali sebagai Ameer Islam (diberi secara lisan), beralamat di Penempatan Telipok, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Superitenden Noraidin Ag. Maidin, kira-kira pukul 1.10 pagi pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Modenas Kriss dan motokar jenis Proton Wira.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu dan penumpang motokar Proton Wira dipercayai telah melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut telah dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejurus sahaja laporan polis diterima dan setakat ini beberapa orang individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya menerusi kenyataan media.
Noraidin berkata, kira-kira pukul 11 pagi salah seorang suspek warga Pakistan berjaya ditahan polis ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu.
“Suspek yang ditangkap telah ditahan tempoh 24 jam dan siasatan lanjut serta usaha mengesan rakan suspek masih diteruskan,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru sesiapa mempunyai maklumat kejadian dan mengenali suspek Ameer Islam untuk tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp Haffiz di talian 011-6160 0964 atau 088-791 933 juga boleh terus ke Balai Polis yang berhampiran.
Tambahnya, orang awam juga diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi tentang kes kemalangan agar tidak mengganggu siasatan.


