
KUALA LUMPUR – Sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan UMNO bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu selaras dengan peranan dan tanggungjawab UMNO sebagai `rumah bangsa’ iaitu medan dalam mengembalikan serta menyatukan semula orang-orang Melayu.
Menurutnya, politik Melayu Islam tidak boleh terus berselerak dan penyatuan itu bukan dengan retorik amarah atau dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas serta jiwa yang besar.
“Gagasan payung besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO, namun sejarah membuktikan ia tidak mendapat sambutan
“Payung besar orang Melayu itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya iaitu UMNO yang sudah sedia kukuh, sekali gus tidak lagi memerlukan kepada payung lain.
“Sejarah rumah bangsa ini tidak akan pernah terpadam. Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu, Pas, Semangat 46, PKR, Bersatu, Pejuang, Warisan, GRS – bahkan GPS telah turut berkongsi satu roh kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan, ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras.
Menurut beliau, perkara terbabit bukan sejarah untuk dibanggakan secara angkuh, tetapi perlu diinsafi dengan rendah hati.
“UMNO juga merupakan rumah asal politik Melayi yang mana dari UMNO lah lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan.
“Rumah UMNO itu perlu dijaga termasuk dibersihkan dari keangkuhan supaya kembali menjadi teduhan buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat, memandangkan UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.
“UMNO adalah rumah buat semua bertaut Kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah…kembalilah…kembalilah. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan,” katanya.




