KUALA LUMPUR – 26 tahun berlalu penuh ranjau, tarikh 2 September 1998 bermulalah reformasi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Perjuangan darah dan air mata ini dilalui dengan perit, sengsara namun tiada istilah undur dan kini Anwar berjaya mentadbir negara sebagai Perdana Menteri ke-10.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam coretannya menggambarkan 2 September 1998 hingga 2 September 2024 tempoh panjang yang getir dan kini dituai kemanisannya oleh pejuang reformasi.
“2 September 1998 hingga 2 September 2024, sebuah perjuangan yang panjang dibingkai beberapa perkataan yang menceritakan segalanya yakni keberanian, pengorbanan, kesabaran, ketahanan, kemaafan dan kesetiaan,” coret Menteri Dalam Negeri itu di Facebooknya.
Manakala Nurul Izzah Anwar yang pernah digelar Puteri Reformasi mencatat ringkas “remember, remember, the 2nd of September”.
Anak sulung Anwar itu turut berkongsi foto sarat emosi yang memperlihatkan figura Anwar yang tidak menyerah dan ketabahan ibunya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjalani takdir sekali gus kebangkitan perjuangan reformasi.
Pada tarikh 2 September 1998 itu Anwar dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia juga pencetus awal laungan ‘hidup-hidup, hidup Anwar! Undur-undur, undur Mahathir!” yang dihiruk dalam demonstrasi jalanan protes pemecatan Timbalan Presiden Umno pada masa itu.





