AHLI Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyelar propembangkang yang mempersoalkan mengenai komposisi Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang didakwa dikuasai bukan Melayu.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, dalam sesi angkat sumpah yang berlangsung sebelum ini, seramai 10 daripada 23 Ahli Majlis MPKj merupakan orang Melayu.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan seorang lagi Ahli Majlis MPKj yang juga Melayu akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat bagi mencukupkan kuota 24 ahli majlis kesemuanya seperti termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan.
“Maknanya, 11/24 adalah Melayu iaitu lebih kurang 45 peratus. YDP (Yang Dipertua) dan majoriti pengarah dan kakitangan MPKj juga adalah Melayu.
“Majlis Perbandaran Kajang meliputi kawasan dengan demografi campuran walaupun majoriti penduduk adalah Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Isnin.
Dalam pada itu, Syahredzan berkata, kaum dan agama seseorang ahli majlis tidak wajar dijadikan ukuran dalam menilai sama ada mereka mampu memberikan khidmat baik kepada rakyat.
Beliau menegaskan, sentimen perkauman sempit itu menjejaskan hubungan antara kaum dan perlu ditolak serta tidak wajar dibawa dalam urusan majlis perbandaran
“Kepada Ahli Majlis MPKj yang baharu dilantik untuk penggal 2026-2027, harapan saya adalah anda semua berkhidmat dengan baik untuk para penduduk.
“Jangan pedulikan mereka yang mahu pecah-belahkan orang kita,” katanya.
Terdahulu, beberapa laman media sosial propembangkang mempersoalkan komposisi lantikan Ahli Majlis MPKj dengan menyifatkan hanya `beberapa kerat’ Melayu dalam lantikan tersebut.






