
PENAMPANG – Sebanyak 39 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Papar-Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Penampang, Inspektor Rozami Ahmad berkata, sebanyak 15 daripada 39 saman itu adalah atas kesalahan tiada lesen memandu.
“Operasi dijalankan bagi memastikan penunggang motosikal, pemandu kenderaan dan pengusaha kenderaan barangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan,” katanya menerusi siaran di Facebook IPD Penampang.
Menurut Rozami, sebanyak 58 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Op Motosikal / Op Kenderaan Perdagangan.
Katanya, pihak polis akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan bagi memastikan semua jenis kenderaan persendirian atau perdagangan mematuhi peraturan untuk keselamatan penguna jalan raya.






