
KUANTAN – Seramai 60 kanak-kanak sekitar FELDA Lepar Hilir 1, dekat sini, mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma, hari ini.
Program itu dianjurkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, Mustaqim Zakaria.
Bermula sekitar jam 8 pagi, program itu mendapat sambutan baik daripada penduduk sekitar kawasan tanah rancangan berkenaan.

Mustaqim memaklumkan, program terbabit dirancang untuk diadakan lebih awal, namun disebabkan beberapa masalah tidak dapat dielakkan, ia dapat dilaksanakan hari ini.
“Kita kena tunggu juga bila tukang gunting ini ada kelapangan masa, maklumlah, mereka juga ada kedai masing-masing.
“Jadi, hari ini semua berpakat nak luangkan masa, kita buat hari ini dan elok juga sebab esok baru sesi persekolahan bermula… kiranya sesuai sangat masa,” katanya.
Program seumpama itu adalah antara aktiviti dianjurkan pejabat penyelaras DUN Lepar setiap kali musim persekolahan tiba.
Ia bukan hanya dapat membantu meringankan beban ibu bapa, tapi turut memberi semangat baru kepada kanak-kanak, terutama mereka yang kali pertama menjejak kaki ke alam persekolahan.







