
PUTRAJAYA — “Oh merdeka let your freedom ring, Mr. T’s voice in every song we sing,” demikian petikan bait-bait lirik seorang Mat Salih sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang mencuri perhatian warga maya di laman TikTok.
Lagu bergenre country berdurasi tiga minit tiga puluh satu saat itu dimuat naik di akaun @random.4.you milik seorang lelaki kulit putih yang menggelarkan dirinya sebagai Mr. Travel.
Senikata lagu berkenaan menampilkan keunikan Malaysia yang berbilang kaum, budaya, keindahan alam serta kepelbagaian flora dan fauna.
Selain itu, lagu tersebut menimbulkan rasa kagum dalam kalangan netizen apabila Mr T turut menzahirkan kecintaannya kepada bumi Malaysia meskipun bukan berasal dari negara ini.
Lebih mengharukan, Mr T menggabungkan elemen ilustrasi dan video yang sinonim dengan aktiviti harian majoriti rakyat serta lokasi menarik di Malaysia.
“Terima kasih Mr T, bangga jadi rakyat Malaysia. Bangga juga mendengar lagu yang bagus dari anda untuk Malaysia,” kata Asang Angkel.
“Saya ucapkan terima kasih ikhlas dari hati. Anda benar-benar menangkap intipati Malaysia dalam ilustrasi dan lagu,” ujar @Trick_Or_Talk_K.
Dalam pada itu, ada juga yang mencadangkan agar pihak kerajaan mendapatkan hak eksklusif lagu itu dan sekaligus dijadikan sebagai lagu kebangsaan.
“Malaysia tolong beli lagu ni, sebagai lagu kemerdekaan. Bagi Faizal Tahir atau Jaclyn Victor nyanyi lagi ni.
“Suka sangat dengar mengenai Sabah Borneo Penang. Selamat Hari Merdeka,” kata Wak Eeww.







