
PUTRAJAYA – Durian Musang King yang tidak memenuhi piawaian eksport menyebabkan berlakunya lebihan bekalan di pasaran tempatan ketika ini, bukannya disebabkan kelemahan permintaan terhadap durian kampung.
Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, kebun muda berusia kurang 10 tahun menghasilkan buah berkualiti rendah, sekali gus tidak menepati spesifikasi eksport, khususnya ke China dan Singapura.
“Kejatuhan harga durian klon itu kepada RM15 hingga RM20 sekilogram akhirnya memberi kesan rantaian kepada durian kampung di seluruh negara,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro MADANI @ Jualan Buah Bermusim dan Durian, di sini, semalam.
Faisal Iswardi berkata, bagi mengurangkan impak kepada petani, FAMA menggerakkan inisiatif seperti membeli durian kampung untuk diproses menjadi ‘pulp and paste’ di pusat pemprosesan khususnya di Besut, Terengganu; Jerantut, Pahang; Sungai Petani, Kedah dan Machang, Kelantan.
Katanya, FAMA yang mempunyai 14 pusat pemprosesan buah di seluruh negara bersedia membantu, namun fokus kini diberikan kepada empat lokasi utama bagi menyerap lambakan dan memproses bekalan yang tidak boleh dipasarkan sebagai buah segar.
Selain itu, jelasnya, FAMA mengoperasikan 42 pusat di seluruh negara bagi melaksanakan belian secara langsung khususnya durian varieti kampung, sama ada untuk jualan segar atau diproses menjadi produk nilai tambah.








