
MELAKA – Beberapa acara besar pelancongan peringkat antarabangsa bakal diadakan di negeri ini dalam tempoh empat bulan terakhir sempena penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman berkata acara tahunan yang bakal diadakan adalah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam pada Oktober ini.
Pesta Kebudayaan ASEAN turut diadakan secara serentak dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11 pada bulan yang sama.
“Pada Oktober juga, kerajaan negeri menganjurkan Festival Sungai Antarabangsa Melaka yang akan menampilkan sedikit kelainan berbanding 2023, di samping Explorace Melaka 2024 yang bakal menghimpunkan ramai peminat aktiviti riadah termasuk pengamal media dari seluruh negara.
“Kita juga tidak lupa untuk menganjurkan program berbentuk keagamaan dengan merencana beberapa aktiviti menarik sempena sambutan Maulidur Rasul nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata AMCA Ke-11 yang akan diadakan pada 21 hingga 26 Oktober nanti akan menghimpunkan pemimpin dari 10 buah negara bagi membincangkan isu berkaitan pelancongan dan kebudayaan selain membuka peluang pertukaran budaya serta kesenian antara negara ASEAN.
Penganjuran mesyuarat antarabangsa terbabit sekali gus dapat meningkatkan profil Melaka sebagai destinasi pelancongan dan pusat kebudayaan di peringkat negara dan antarabangsa.
Menurutnya, program pelancongan berbentuk ilmiah, riadah, hiburan dan sukan akan bertambah rancak bermula November hingga Disember ini.
“Kerajaan negeri sudah merancang untuk mengadakan aktiviti pelancongan terbabit dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, khususnya pada cuti persekolahan,” katanya.
Abd Razak menegaskan, dengan mengekalkan program pelancongan seperti ‘Melaka Bila Larut Malam’, sambutan akan lebih meriah disamping kerajaan negeri akan memastikan produk sedia ada ditambah baik bagi keselesaan pengunjung.
“Menerusi perancangan pelancongan itu, saya yakin sasaran kerajaan negeri untuk menarik 15 juta hingga 18.7 juta pelancong ke Melaka sepanjang tahun ini akan tercapai,” katanya.






