
KUCHING – Seramai 41 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selama tiga hari, bermula Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi yang berakhir pada 6 Januari itu dijalankan bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.
Menurut beliau, daripada jumlah tangkapan tersebut, lima individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Selain itu, dua individu ditahan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.
“Selebihnya iaitu seramai 32 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 selepas didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas mengenai rampasan, Alexson berkata, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,532.
Jelasnya, antara dadah yang dirampas termasuk methamphetamine seberat 121.02 gram, serbuk MDMA (248.10 gram) dan pil Erimin 5 (9.80 gram).
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya


