
IGAN – Rumah Api Kuala Igan dilihat berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan baharu yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi komuniti pesisir di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya berkata, keunikan geografi serta persekitaran semula jadi yang masih terpelihara menjadikan lokasi itu aset berharga sebagai tarikan pengunjung.
“Pembangunan rumah api ini bukan sahaja penting dari sudut keselamatan perairan, malah boleh menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat sekiranya dimanfaatkan secara menyeluruh sebagai produk pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak pembinaan Rumah Api Kuala Igan pada Selasa.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, sokongan komuniti setempat amat penting bagi merealisasikan hasrat menjadikan infrastruktur tersebut sebagai nilai tambah kepada kawasan Kuala Igan.
Projek berkenaan melibatkan pemindahan Rumah Api Tanjung Sirik ke lokasi baharu yang telah dimulakan pada Julai 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




