
KIMANIS – Masalah asas bekalan air bersih dan elektrik di kawasan luar bandar Sabah kini mendapat perhatian melalui inisiatif tenaga solar oleh Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB), sekali gus memberi kelegaan kepada komuniti terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif KPSB, Rozali Khamis berkata, inisiatif ini direka untuk mewujudkan penyelesaian jangka panjang yang mampan dengan menumpukan kepada keperluan asas masyarakat luar bandar.
“Di Sekolah Kebangsaan Mandalipau, Limbahau, Papar, ketiadaan bekalan air yang konsisten sebelum ini menjejaskan operasi harian sekolah.
“Pemasangan sistem penuaian air berkuasa solar kini memastikan 52 murid dan 17 guru mendapat bekalan air bersih berterusan, menyokong persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Dalam pada itu, di Kampung Pakiak, Sipitang, penduduk sebelum ini bergantung kepada pelita minyak akibat ketiadaan elektrik, menimbulkan cabaran terutama kepada pelajar.
Sehubungan dengan itu, melalui kerjasama KPSB dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, sistem fotovolta solar dipasang di 35 rumah, sebuah dewan komuniti dan kemudahan keagamaan, memberi manfaat kepada kira-kira 190 penduduk.
“Inisiatif berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 yang menyasarkan pembekalan elektrik sepenuhnya di kawasan terpencil serta pengembangan penggunaan tenaga boleh baharu,” katanya.
Seorang pelajar, Delvi Sulinah berkata, kemudahan itu membolehkannya belajar pada waktu malam tanpa gangguan bekalan elektrik.
Selain menyediakan infrastruktur asas, KPSB turut menyalurkan sumbangan beg sekolah, bahan pembelajaran dan peralatan sukan bagi menyokong keperluan pendidikan murid bagi sesi akademik 2026.





