PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Arsenal meraih kemenangan 4-1 ke atas Aston Villa di laman sendiri awal pagi tadi, sekali gus mengekalkan kedudukan teratas liga menjelang Tahun Baharu.
Gol di awal babak kedua menerusi Gabriel Magalhaes dan Martin Zubimendi memberikan Arsenal kawalan penuh dalam perlawanan menentang Villa yang hadir dengan rekod 11 kemenangan berturut-turut.
Gabriel membuka jaringan pada minit ke-48 apabila menolak masuk bola sepakan sudut, sebelum kapten Arsenal, Martin Odegaard, melorongkan hantaran tepat untuk Zubimendi menjaringkan gol kedua empat minit kemudian.
Arsenal mengesahkan tiga mata apabila Leandro Trossard merembat dari luar kotak penalti, sebelum Gabriel Jesus yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol keempat.
Villa memperoleh gol sagu hati menerusi Ollie Watkins dalam masa kecederaan.
Kemenangan ini membolehkan Arsenal mendahului lima mata di hadapan pesaing terdekat, Manchester City, yang berpeluang merapatkan jurang ketika bertemu Sunderland awal pagi esok.
Villa kekal di tangga ketiga, enam mata di belakang Arsenal, selepas mengalami kekalahan pertama dalam hampir dua bulan biarpun mempamerkan aksi meyakinkan pada separuh masa pertama.






