AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, menyeru semua pihak termasuk ahli politik supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan tidak mempolitikkan keputusan itu sebagai konspirasi politik.
Beliau yang juga dikenali sebagai Altimet, dalam kenyataannya di X berkata bahawa, keputusan mahkamah yang dibuat selepas pertimbangan rapi dan berdasarkan bukti yang kukuh membuktikan bahawa badan kehakiman negara kekal bebas, profesional dan berpandukan undang-undang semata-mata.
“Sebagai warganegara Malaysia, kita mesti berpegang teguh kepada satu prinsip asas: tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.
“Kedudukan, gelaran, jawatan terdahulu atau populariti tidak boleh meletakkan mana-mana individu di luar kerangka pertanggungjawaban undang-undang,” katanya.
Mahkamah Tinggi telah mengesahkan penglibatan langsung Najib dalam skandal 1MDB, termasuk kewujudan hubungan yang tidak dapat disangkal antara beliau dan Low Taek Jho (Jho Low), yang dikenal pasti sebagai perantara utama dalam penyelewengan dana awam.
Pembelaan Najib bahawa beliau diperdaya oleh pengurusan 1MDB ditolak sepenuhnya, dan beliau didapati bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyalahgunaan kuasa dan dana berjumlah RM2.3 bilion serta pengubahan wang haram.
Altimet berkata, semua pihak perlu menghormati badan kehakiman yang bebas dan memberi ruang kepada sistem perundangan untuk menjalankan proses rayuan tanpa campur tangan politik.
Katanya, menggunakan keputusan kehakiman sebagai modal politik atau menabur keraguan terhadap integriti hakim adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengelirukan rakyat dan menghakis keyakinan terhadap institusi keadilan negara.
“Kes ini harus menjadi peringatan bahawa keadilan tidak bersifat pilih kasih dan bahawa akauntabiliti adalah asas penting untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
“Kekuatan sesebuah negara demokrasi tidak diukur melalui cara ia melindungi golongan berkuasa, tetapi melalui keberanian menegakkan undang-undang apabila kuasa dipertanggungjawabkan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat agar menghormati setiap keputusan mahkamah yang dibuat mengikut lunas undang-undang demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman sekarang dan pada masa akan datang.




