
PENAMPANG – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bahawa beliau tidak mahu masyarakat menganggap dirinya menggunakan kemudahan atau kedudukan sebagai menteri untuk kepentingan peribadi, khususnya bagi memajukan kebun miliknya sendiri.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, utama adalah memastikan pembangunan sektor pertanian negeri berkembang secara menyeluruh dan inklusif, bukan tertumpu kepada kepentingan individu.
“Saya telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan kebun ini kepada anak saya dan tidak lagi terlibat secara aktif,” katanya kepada media di Kebun Durian Timpangoh, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran pihak media ke kebun ini bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya di luar bandar untuk menceburi penanaman durian yang berpotensi menjana pendapatan tinggi.
“Tanaman durian berupaya membantu masyarakat keluar daripada garis kemiskinan jika diusahakan dengan ilmu, perancangan dan sokongan yang betul,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan kawasan kebun tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai ladang komersial malah dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kerjasama dengan universiti tempatan membolehkan pelajar didedahkan kepada teknik penanaman durian, ekonomi pertanian serta kajian berkaitan penggunaan bahan organik.
“Banyak kajian telah dijalankan di kawasan ini khususnya penggunaan bahan organik dalam menyuburkan tanaman.
“Kebun ini turut mengamalkan pertanian mampan dan penting bagi memelihara alam sekitar, mengurangkan risiko hakisan tanah serta memastikan keseimbangan ekosistem terus terjamin.
“Kawasan ini turut dirancang untuk dibangunkan sebagai tapak perkhemahan dan agropelancongan pada masa hadapan sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan berasaskan pertanian di Sabah,” ujarnya.








