ADUN Kabong santuni pesakit kencing manis, turut sumbang RM10,000 kepada nelayan Gerigat

KABONG – Keprihatinan terhadap kebajikankabong rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir apabila beliau melaksanakan dua program turun padang melibatkan bantuan kebajikan dan pembangunan komuniti di kawasan Kabong, baru-baru ini.

Dalam satu kunjungan ziarah prihatin, Mohd Chee bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, menyantuni Siti Norfalzila Ramli yang menghidap penyakit kencing manis dan telah menjalani pembedahan pemotongan kaki.

Pada kunjungan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan harian pesakit, khususnya untuk urusan keluar masuk rumah serta rawatan susulan.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga serta memberi keselesaan dan semangat baharu kepada Siti Norfalzila untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Semoga beliau dikurniakan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan rawatan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Ketua Kaum (KK) Abang Syarif Abang Fadil dan KK Abang Ahmad Abang Resdi.

Sementara itu, dalam program berasingan, Mohd Chee turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut diharap dapat memperkasa peranan PNK Gerigat, khususnya dalam menjaga kebajikan nelayan serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Dalam masa sama, beliau turut meninjau status pelaksanaan Projek Membina Benteng Air Pasang di sepanjang Kampung Gerigat yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Menurutnya, projek berkenaan amat penting bagi mengurangkan risiko hakisan pantai dan banjir air pasang, selain melindungi kediaman penduduk serta kawasan pesisir kampung.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan menepati spesifikasi agar manfaatnya dapat dinikmati penduduk dalam jangka panjang,” katanya.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Kampung Gerigat, Abang Ahmad Abang Resdi, Pengerusi PNK Gerigat serta beberapa Ahli Lembaga Pengarah PNK Gerigat.

Kedua-dua program ini mencerminkan komitmen berterusan ADUN Kabong dalam memastikan kebajikan rakyat serta pembangunan setempat terus diberi perhatian.

Related Posts

PH kaji kekalahan PRN, rangka strategi baharu

BUKIT MERTAJAM – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat pada 8 Ogos ini bagi meneliti punca kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain merangka…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Projek Empangan Air RM450.5 juta ikut jadual, siap 2027

TAWAU – Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta iaitu pembinaan Empangan Air yang membekal air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRU16 wajar selepas rakyat rasai kesan pemulihan ekonomi – Hassan Karim

PRU16 wajar selepas rakyat rasai kesan pemulihan ekonomi – Hassan Karim

PH kaji kekalahan PRN, rangka strategi baharu

PH kaji kekalahan PRN, rangka strategi baharu

Projek Empangan Air RM450.5 juta ikut jadual, siap 2027

Projek Empangan Air RM450.5 juta ikut jadual, siap 2027

Pahang rekod kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur

Pahang rekod kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur

Trump tangguh rancangan serang Iran

Trump tangguh rancangan serang Iran

PMK 2026 himpun pelbagai agensi, mudahkan rakyat akses perkhidmatan

PMK 2026 himpun pelbagai agensi, mudahkan rakyat akses perkhidmatan