
PUTRAJAYA – Pendekatan ekstrem dan pemikiran ghuluw (melampau) dalam berpolitik dilihat akan meninggalkan implikasi jangka panjang yang serius bagi masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah menerusi kenyataan memaklumkan penting bagi setiap pemimpin politik untuk mengedepankan kesederhanaan, inklusiviti, dan kebijaksanaan dalam kepemimpinan mereka.
Menurut kenyataan itu, permainan keras dan kasar, seperti dipamerkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan UMNO dan kerajaan semasa sebagai ‘lebih Dajal daripada Dajal’ adalah keterlaluan sehingga mampu menjejaskan perpaduan yang telah dicapai sejak negara mencapai kemerdekaan
“Dajal adalah bentuk kekufuran dan kefasikan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis. Sesungguhnya, ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama umat Islam apalagi dinyatakan oleh seorang pemimpin parti yang meletakkan nama Islam padanya,
“Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah berpendapat kenyataan yang dibuatnya oleh Abdul Hadi itu boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi,” katanya.
Mengulas lanjut, sebuah parti politik yang melabelkan mereka bertunjangkan Islam, sewajarnya pembangkang membawa pendekatan yang baik lagi benar, serta bersikap wasatiyyah dalam menangani sesuatu perkara.
Jelasnya, Pas tidak sepatutnya memilih cara jumud dan ekstrem, sepertimana yang pernah diungkapkan dan menjadi teguran oleh Tokoh Islam terkenal, Almarhum Yusuf al-Qardhawi.
“Malah Islam menganggap ini sebagai satu kewajipan kifayah ke atas umat Islam dan ia menjadi fardu ain apabila seseorang mampu melakukannya sementara yang lain meninggalkannya atau ada merasa takut untuk melaksanakannya.
“Kami amat percaya Islam menekankan kepentingan menjaga keamanan dan kesatuan ummah. Pemberontakan dan peperangan terhadap pemerintah yang sah akan membawa kepada fitnah, huru-hara, pepecahan dan merugikan Islam,” kata biro itu lagi.
Sebelum ini, Abdul Hadi melalui tulisannya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Politik, Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan UMNO-Pakatan Harapan (PH)’ mendakwa kerajaan di bawah pemerintahan UMNO dan PH adalah ‘dajal’.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO sudah rosak bersama PH meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan serta mempertahankan kerajaannya.
Jelasnya, kerajaan membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya dapat meraih sokongan dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama serta amalan demokrasi.
Abdul Hadi turut mendakwa, politik Dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.





