KUANTAN – Selepas hampir lima tahun bertugas di pejabat FELDA Wilayah Jengka, Tarmizi Lee akan berpindah ke ibu pejabat FELDA, mulai tahun depan.
Pengumuman mengenai pertukaran itu dibuat semalam, ketika mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka yang diadakan di sini, malam tadi.
Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pertukaran Tarmizi adalah satu kejutan kepada warga peneroka dalam wilayah berkenaan.
“Beliau adalah seorang pegawai yang sangat mesra dan tidak pernah menolak sebarang cadangan dikemukakan JKKR, selagi memberi kepentingan kepada warga peneroka, pasti disokong oleh beliau,” katanya.
Razak dalam masa yang sama merakam ucapan penghargaan kepada Tarmizi yang menunjukkan budaya kepimpinan penuh integriti.
Katanya, kemesraan ditunjukkan Tarmizi sepanjang hampir lima tahun bersama warga Wilayah Jengka akan meninggalkan kenangan manis kepada peneroka.
“Memang kami sangat selesa dengan gaya kepimpinan beliau… lagipun, Tarmizi ini seorang yang sentiasa tenang dan selalu tersenyum, payah nak tengok dia tak senyum,” jelasnya.
Mewakili warga JKKR FELDA Wilayah Jengka, Razak berharap Tarmizi akan terus cemerlang di ibu pejabat FELDA, dengan memegang jawatan baharu.





