
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita kerugian RM67,789 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 12 Disember lepas, mangsa berusia 20 tahun dan bekerja sebagai penolong arkitek melihat tawaran kerja sambilan di laman sosial Instagram.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan diminta mengisi maklumat peribadi kononnya bagi memulakan pekerjaan dengan sebuah syarikat pakaian berjenama.
“Mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Parit, di sini, seterusnya diarahkan untuk berhubung dengan rakan suspek melalui aplikasi Telegram dan membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM10.
“Selepas itu, mangsa diminta memasuki satu laman sesawang bagi membeli barangan secara rawak untuk memperoleh komisen.
“Bagaimanapun, mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu dan wang berkenaan ‘akan dipulangkan’ bersama komisen ke dalam akaunnya,” katanya, lapor Bernama.
Azli berkata, mangsa pada mulanya berasa gembira apabila menerima pulangan wang dan komisen bagi dua tugasan pertama.
Menurutnya, mangsa yang semakin yakin kemudian menyelesaikan 14 tugasan lain, namun gagal memperoleh sebarang keuntungan atau pulangan wang seperti dijanjikan.
“Mangsa membuat pembayaran berjumlah RM67,789 ke lima akaun bank berbeza bagi tugasan yang dilakukan dalam tempoh 12 hingga 14 Disember lepas.
“Mangsa membuat laporan polis pada 10.29 malam tadi selepas gagal mendapatkan pulangan wang dan komisyen dijanjikan, selain tidak berjaya menghubungi suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.





